Thursday, January 16, 2014

Dia

Dia ...

Yang sanggup menunggang basikal "racing" sejauh 8 kilometer  ke sekolah semata-mata mahu menghantar peralatan mewarna anaknya yang tertinggal di rumah supaya anaknya tidak dimarahi cikgu dan tidak ketinggalan sesi pembelajaran.

Dia…

Yang tidak malu untuk menjerit “Hei, itu anak aku!” ketika melihat anaknya berada di atas pentas mengambil piala kemenangan di hari sukan.

Dia…

Yang tidak malu duduk mencangkung di tepi longkang untuk menemani anaknya yang kelaparan makan “burger” di hari kokurikulum sekolah.

Dia…

Yang tidak pernah kata TIDAK untuk membelanja anak-anaknya makan di bandar walaupun terpaksa menahan dua buah teksi ke bandar kerana dia bukanlah seorang yang pandai memandu.

Dia…

Tidak pernah rasa malu untuk memeluk dan mencium anak-anaknya di khalayak ramai untuk menunjukkan rasa cinta dan kasihnya.

Dia…

Tidak pernah menangis di hadapan anak-anaknya bukan kerana dia kuat.. tetapi dia tidak mahu anak-anaknya berasa lemah dalam jagaannya.

Dia…

Yang tak henti-henti berdoa dan mengaji ketika anaknya menduduki peperiksaan supaya anak-anaknya tenang dan dapat menjawab soalan peperiksaan dengan cemerlang.

Dia…

Tidak pernah lupa mengucup pipi dan dahi anak-anaknya dan membaca surah 3 Qul dan Ayatul Qursi sebelum tidur.

Dia…

Yang tidak pernah berasa penat untuk memasak makanan kegemaran anak-anaknya dan menunggu anak-anaknya pulang dari sekolah dengan senyuman.

Dia…

Tidak pernah jemu menasihati anaknya walaupun anaknya ketika itu tergedik-gedik mahu bercinta waktu sekolah. Malah, pernah sekali dia mengajar anaknya menulis surat cinta. Tetapi malangnya.. cinta anaknya itu ditolak.. haha.. mungkin dengan cara itu dia ingin menyedarkan anaknya.. “KAKLONG, TAK CANTIK… DAH HABIS SEKOLAH NANTI, BELAJAR PANDAI-PANDAI, KERJA ELOK-ELOK BILA DAH ADA BANYAK DUIT, BARULAH BOLEH JADI CANTIK, TAK PAYAH TULIS SURAT ORANG DAH DATANG MENGORAT” haha. 

Dia…

Yang tak pernah lekang senyum dan hilaian ketawanya yang lucu kerap kali menghibur hati anak-anak dan orang-orang yang berada disampingnya.

Dia…

Insan yang sentiasa memberi semangat walaupun kini, dia telah tiada.. tetapi, semangatnya masih tebal di dalam dada..

Dia…

Insan yang kupanggil EMAK dan sentiasa bertakhta di hati, Alfatihah.. Umi Sara Bt Abdullah. Semoga, dapat ku tauladani sifat mulianya ketika aku bergelar ibu nanti.

No comments:

Post a Comment