Friday, May 13, 2016

30 minit yang Sepi dan Gadis Tanpa Isyarat



Mana pergi awan, semuanya hilang dari pandangan. Matahari pula bersembunyi sejak jam 6 pagi lagi aku tunggu tak muncul-muncul. Jalan-jalan yang aku lalui tadi semua hilang. Sesat lagi aku.
Jantung pula seperti hilang degupan. Apa yang tak kena lagi pada aku.

Pejam celik, pejam celik semua orang aku nampak biru. Gelap pandangan, gara-gara matahari yang tak muncul-muncul.
Hujan sahaja yang menemani. Pelik. Awan tiada, mana pula datangnya hujan.

Abaikan. 

Bayangkan, aku berjalan dalam keadaan gelap dan basah dengan sehelai baju polos yang nipis, seluar yang sudah basah kuyup. Jari-jari pun sudah mula mengecut.

Sejuk. 

Badan basah dan tak kering-kering. Hidung mula sejuk. Dada berombak. Susah nak bernafas. Cari inhaler memang tak jumpa. Selalu ada, bila cari memang tak jumpa.
Lihat jam tangan menunjukkan jam 6:40 petang. Matahari pun masih tak muncul. Apakan lagi nak lihat ianya terbenam.

Dalam keadaan sejuk dan gelap dan semua orang aku nampak berwarna  biru, kepala pun masih runsing.
Pening.
Apa masalah aku hari ini?
Paddle pop yeay! Paddle pop wow! Super duper Yummy!” berulang-ulang. Tiba-tiba, muzik dari motor si penjual aiskrim berkumandang.

Angin sepoi-sepoi bahasa bertiup.
Baju basah. Angin. Sejuk.
Aku berpeluk tubuh. 

Angin. Lagu orang jual aiskrim dan seorang gadis yang bukan berwarna biru.
Gadis normal. Biasa sahaja. Dia sedang membeli aiskrim.
Tapi. Aku asyik melihat dia.
Baju kurung kain kapas. Bunga-bunga kecil coraknya. Tudung bawal berwarna kuning lembut.
Ada sesuatu padanya. Mungkin, kerana semua orang aku lihat berwarna biru dan dia tidak. 

Mungkin…

Dia lain. Lain dari yang lain. Aku ralit memerhatikannya. Walhal dia hanya membeli aiskrim.
Aku pandang langit  ke kanan. Tiba-tiba aku lihat matahari sedikit terbenam. Eh, tadi matahari tiada. Dari mana datangnya pula matahari itu. Ada sedikit pelangi di hujung kota itu.
Cantik.
Maksud aku pelangi.
Juga, gadis itu.
Aku masih memandangnya.
Dia mengangkat wajah dan menghulurkan tangan kepada pakcik itu untuk membayar aiskrim roti yang dibelinya.
Aku masih di situ.
Berjalan. Melangkah ke arahnya. Orang lain masih kulihat biru.
Dia tidak biru.
Dia lain.
Dia menoleh ke arah aku.
Aku tersenyum. Dia membalas senyuman aku.
Angin masih bertiup lembut. Hanya aku dan dia yang tidak berwarna biru.
Kota masih sunyi. Pakcik penjual aiskrim pergi meninggalkan kami bersama angin dan pelangi petang.

Gumam.

Aku berjalan menuju tempat gadis itu berdiri dan berdiri betul-betul di sebelahnya.
Dia memandang aku dengan riak wajah yang sedikit gentar.
Aku senyum mesra padanya.
Dia memandang aku sambil mengerutkan keningnya.
Wajahnya biasa sahaja. Tapi aku senang melihatnya.
Aku meneruskan kata-kata, entah dari mana kuasa yang datang membuatkan aku berani memulakan bicara yang entah apa-apa.

“Tadi, saya rasa hilang segalanya. Saya takut. Saya seorang diri. Sejuk. Semua orang yang saya lihat berwarna biru. Matahari tiada. Langit juga tidak berawan. Yang ada cuma hujan dan angin yang menyeksakan tubuh. Sejuk mencengkam tulang. Tapi, bila saya nampak awak, tiba-tiba, matahari muncul walaupun sedikit, tetapi tetap memberi sinar agar saya dapat melihat dunia. Pelangi muncul, walaupun samar tapi dapat memberi warna dalam mata dan jiwa saya. Ceria rasa. Bunyi lagu dari motor si penjual aiskrim, walaupun bukan lagu cinta, tetapi masih dapat mencuri rasa hati agar tidak kesunyian. Awak, tahu tak, dengan semua perkara yang hadir tiba-tiba, saya rasa jiwa saya terisi, semuanya hadir, kerana hadirnya awak. Awaklah matahari, awaklah pelangi, awaklah muzik, awak adalah saya, saya adalah awak. Awak adalah dunia saya…”

Gadis itu tetap diam. Tersenyum manis. Tunduk dan berlalu pergi.
Dari jauh aku lihat, dia sedang berlari ke arah seorang lelaki tua. Sambil berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat.
Dia bisu rupanya.
Aku pun tidak pasti adakah dia dengar atau tidak apa yang aku katakan tadi.
Dan,
Aku, kini masih sendiri dan dia hanya memori untuk 30 minit yang sepi.

Sunday, March 23, 2014

Jangan serik keluar dengan saya lagi ya.

Telefon berdering berulang-kali..
Aku tatap je screen telefon tu
Dalam kepala
"Nak jawab ke tak nak.."
Banyak kali juga la berdering.
Last-last aku angkat jugalah..
Ya...ya sorry saya baru lepas mandi..
Dengan nada agak tegas dia berkata
Kalau tak jadi jumpa,awak bagitau saja.
Aku menjawab
-Er.. jadi.. awak di mana
Saya depan rumah awak naik innova grey.
-Oh okay.

Dalam kereta...
Dalam hati.
Macam sombong je
Diam je la.

Dia memulakan bicara
Awak tak pelik ke saya bawa kereta ni
Aku jawab ringkas
- tak.

Kami tidak pergi jauh.
Aku hanya minum
Memandangkan duit dalam poket ada rm3 je.
To be safe , aku order teh tarik. Kahkahkah.
Kami tidak berborak panjang.
Dia yang lebih banyak bercerita.
Aku?
Pemalu barangkali.
Haha..

Sesampai sahaja di rumah.
Aku turun kereta.
Dan tiba-tiba..
Dia turunkan tingkap kereta dan berkata..

Jangan serik keluar dengan saya lagi ya.

Aku hanya melemparkan senyuman dan berkata,

Tak la...

Masuk rumah.. dan tidur.

Bangun pagi. Pergi kerja.

Mendapat satu pesanan dari dia.

"Sombong!"

Bersambung...







Friday, March 14, 2014

Saya, jiran awak

Petang itu.

Ekoran daripada perbualan yang ringkas.

Ketika memandu di rumah orang-orang kaya.

Terima panggilan masuk.

Alamak.

Nak jawab ke tak nak?

Boleh teka siapa yang sedang menghubungi.

Pura-pura tak tahu.

Lama juga ditatap screen handphone tu.

Angkat je lah.

"Hello, siapa ni"

"Saya lah. Jiran. Boleh tak makan sama malam ni?"

"Saya nak mandi dulu"

"Ok, apa-apa bagitau la ye"

Dalam hati.

Betul ke aku ni?

Balik dulu lah. Nanti sampai rumah fikir.


- bersambung lagi..

Pertama kali

Pagi itu.

Banyak sungguh kerja.

Rehatkan minda sebentar.

Buka hp.

Eh.

Ada pesanan.

"Hai"

Umm.. muka macam orang yang gembira-gembira je. Balas lah.

"Hi" :)


-bersambung...

Thursday, January 16, 2014

Dia

Dia ...

Yang sanggup menunggang basikal "racing" sejauh 8 kilometer  ke sekolah semata-mata mahu menghantar peralatan mewarna anaknya yang tertinggal di rumah supaya anaknya tidak dimarahi cikgu dan tidak ketinggalan sesi pembelajaran.

Dia…

Yang tidak malu untuk menjerit “Hei, itu anak aku!” ketika melihat anaknya berada di atas pentas mengambil piala kemenangan di hari sukan.

Dia…

Yang tidak malu duduk mencangkung di tepi longkang untuk menemani anaknya yang kelaparan makan “burger” di hari kokurikulum sekolah.

Dia…

Yang tidak pernah kata TIDAK untuk membelanja anak-anaknya makan di bandar walaupun terpaksa menahan dua buah teksi ke bandar kerana dia bukanlah seorang yang pandai memandu.

Dia…

Tidak pernah rasa malu untuk memeluk dan mencium anak-anaknya di khalayak ramai untuk menunjukkan rasa cinta dan kasihnya.

Dia…

Tidak pernah menangis di hadapan anak-anaknya bukan kerana dia kuat.. tetapi dia tidak mahu anak-anaknya berasa lemah dalam jagaannya.

Dia…

Yang tak henti-henti berdoa dan mengaji ketika anaknya menduduki peperiksaan supaya anak-anaknya tenang dan dapat menjawab soalan peperiksaan dengan cemerlang.

Dia…

Tidak pernah lupa mengucup pipi dan dahi anak-anaknya dan membaca surah 3 Qul dan Ayatul Qursi sebelum tidur.

Dia…

Yang tidak pernah berasa penat untuk memasak makanan kegemaran anak-anaknya dan menunggu anak-anaknya pulang dari sekolah dengan senyuman.

Dia…

Tidak pernah jemu menasihati anaknya walaupun anaknya ketika itu tergedik-gedik mahu bercinta waktu sekolah. Malah, pernah sekali dia mengajar anaknya menulis surat cinta. Tetapi malangnya.. cinta anaknya itu ditolak.. haha.. mungkin dengan cara itu dia ingin menyedarkan anaknya.. “KAKLONG, TAK CANTIK… DAH HABIS SEKOLAH NANTI, BELAJAR PANDAI-PANDAI, KERJA ELOK-ELOK BILA DAH ADA BANYAK DUIT, BARULAH BOLEH JADI CANTIK, TAK PAYAH TULIS SURAT ORANG DAH DATANG MENGORAT” haha. 

Dia…

Yang tak pernah lekang senyum dan hilaian ketawanya yang lucu kerap kali menghibur hati anak-anak dan orang-orang yang berada disampingnya.

Dia…

Insan yang sentiasa memberi semangat walaupun kini, dia telah tiada.. tetapi, semangatnya masih tebal di dalam dada..

Dia…

Insan yang kupanggil EMAK dan sentiasa bertakhta di hati, Alfatihah.. Umi Sara Bt Abdullah. Semoga, dapat ku tauladani sifat mulianya ketika aku bergelar ibu nanti.

Thursday, December 26, 2013

Janganlah Bersedih.

Hidup..

Tak selalunya indah.. tak semua hidup kita akan berakhir seperti mana cerita-cerita fairy tales dalam tv..  tapi tak salah kalau kita sendiri merancang hidup kita untuk menjadi indah..  menjadi seorang  yang sentiasa positif itu mustahil.. tapi.. cuba.. positifkan setiap perkara yang negatif.. jauhi aura-aura negatif... 

Semenjak dua menjak ni... banyak perkara yang tak terduga terjadi... cuba senyum ... mungkin senyum dapat mengubat apa yg terlara di dalam hati... senyum mungkin sudah cukup menunjukkan kita masih mampu rasa sedikit gembira... biar terlihat seperti menipu diri sendiri.. tetapi cukuplah dengan senyuman yang tak seberapa ni dapat juga menyenangkan org disekeliling kita yang mungkin memerlukan senyuman kita untuk mengubat lara di dalam hati mereka...

Tah apa yang aku cuba mengarut di sini... hahaha... tapi percaya la... hidup siapa sahaja yang tidak pernah terduga... mungkin bukan sekarang.. bukan dulu.. tetapi masa hadapan...pasti akan diduga...
dulu, masa awal2 dulu, waktu aku selalu rasa marah dan kecewa dgn hidup.. aku kerapkali bertanya menangis teresak2 persoalakn kepada tuhan kenapa hidup aku tak seindah orang lain.. lama-lama aku sedar... kenapa Allah ambil mak terlebih awal.. dan sekarang buat aku lebih sedar... semua yang terjadi ada hikmahnya... jika mak masih ada... bagaimana agaknya kehidupan aku sekarang... kenapa aku mesti nk persoalkan apa yang terjadi sekarang sedangkan dahulu sebelum aku dilahirkan di dunia ini....aku pernah berjanji kepada Allah yang aku mampu, aku akan teruskan hidup aku menjadi hamba yang taat kepadanya walauapapun yang akan terjadi.. kenapa bila sekarang aku diuji... aku mula bertanya kepada dia...kenapa aku mempertikaikan segalanya.. maafkan aku ya tuhan.. kadangkala aku alpa...takut bila aku fikir jauh.. takut jika aku tak sempat meminta maaf kepadanya.. sedangkan jika aku buat salah sesama manusia.. cpt2 aku mintak maaf... tp kenapa dgn dia yg menciptakan aku.. aku berlengah2.. Ya Allah.. takut.. betul2 takut... benarlah.. sesetengah perkara yang terjadi itu...tiada siapa yang mampu menyelesaikannya.. hanya masa yang menentukannya.. yang kita perlukan adalah kesabaran yang tinggi..

Ntah apa ada dalam fikiran aku... kadangkala fikiran aku agak tidak stabil akhir-akhir ini... acapkali menerewang memikirkan apa.. aku tidak tahu... pulang ke rumah... berbual2 pun aku malas... kenapa masih mengenangkan arwah mak yang sudah tiada... lain sungguh hidup jika tiada teman bicara seperti dulu... dia adalah sahabat dan juga penasihat terbaik dalam hidup... sayangnya.. dia pergi dahulu... semoga suatu hari nanti anak-anak aku juga akan menganggap aku adalah sahabat terbaik mereka .. merenung wajah-wajah org tersayang,, kadang-kala buat aku rasa sayu... jika.. aku tiba2 pergi... tanpa sebarang alamat sepertimana yang telah berlaku kepada mak dahulu.. mampukah mereka kuat? kita tak pernah tahu... bila... kita akan pergi.. kadang-kala kita berfikir jauh seperti kita akan hidup selama-lamanya... rupe2nya.. tiba-tiba kita tiada...

Tabahlah... tabahlah menghadapi hidup ini.. sesungguhnya... hidup ini hanyalah sementara.. tiada apa yg kita perlu kejar selain redha Allah... Janganlah bersedih...

Thursday, June 13, 2013

Kaklong Tak Lupa

Assalamualaikum dan Salam Jumaat kepada semua pembaca blog saya yang telah lama saya pinggirkan..

Sudah agak lama saya tidak berkongsi rasa di laman ini. Mungkin cara penulisan saya kali ini juga sudah agak berbeza jika dibandingkan dengan penulisan-penulisan saya yang terdahulu.
Gaya penulisan yang lebih ringkas dan mudah difahami. Seperti sedang berbicara dihadapan pembaca-pembaca sekalian itu adalah cara saya menulis. Mungkin pada saya, dengan gaya penulisan seperti itu, membuatkan saya berasa lebih dekat dengan pembaca dan pembaca lebih mudah membaca perasaan saya.

Hakikatnya, bukan saya tidak mahu menulis secara bebas seperti dahulu tapi mungkin saya lebih cenderung menulis dengan menggunakan bahasa yang lebih sempurna berbanding dahulu kerana mungkin saya telah terbiasa dan terikat dengan kerjaya sekarang. Tapi, saya masih saya yang dahulu, masih gila, kelakar (kelakar ke??) dan masih KHADIJAH AMINAH yang kamu semua kenali dahulu.

Mungkin sudah cukuplah pengenalan yang saya berikan untuk 'entry' kali ini. Maka besarlah hati saya ingin berkongsi sedikit cerita atau pengalaman hidup saya kepada anda semua.

Pagi tadi, seperti biasa saya memandu ke pejabat sambil saya dihidangkan dengan topik yang agak  menarik oleh penyampai radio. Topiknya menyentuh tentang Ayah. Pernahkah anda dihukum oleh ayah anda.. apakah hukuman yang diberikan oleh ayah anda ketika anda kecil. Puas saya memikirkan, apakah hukuman yang pernah ayah atau saya memanggil ABAH telah berikan kepada saya semasa saya kecil. Sedar tak sedar , sebenarnya, saya tidak pernah dihukum oleh Abah. Tidak tahulah kenapa. Bukan kerana saya anak manja. Tetapi mungkin kerana saya tidak pernah melakukan hal-hal yang tidak disukainya. Saya juga adalah pengampu terhebat Abah. Haha. Sehingga kini saya sentiasa mengampu Abah dengan menceritakan tentang kehebatan-kehebatan saya berbanding adik-adik saya yang lain. Bunyinya seperti seorang yang gila kuasa. Tetapi itulah hakikatnya, begitulah cara untuk saya mendapat perhatian dari Abah.

Abah seorang yang sangat sibuk. Dia seorang yang sangat berjaya dalam kerjayanya. Kata-katanya sahaja sudah cukup  menunjukkan dia seorang yang bijak. Jauh disudut hatinya. Saya tahu dia memerlukan seseorang untuk mendengar luahan hatinya, mungkin dia juga mempunyai masalah sama juga seperti saya. Tetapi, sebagai seorang anak yang mungkin sedang mencari erti hidup sendiri, saya juga kadang-kala lupa untuk bertanyakan khabarnya. Walhal, kami serumah!

Selepas pemergian Mak, Abah yang menjaga kami seorang diri. Kadangkala, kerana terlampau sibuk,
saya berasakan yang Abah tidak mempedulikan hal kami adik beradik. Tetapi, tidak pula saya tahu, di malam hari, ketika kami semua sudah tidur, abah masuk setiap bilik anak-anaknya dan untuk melihat dan memastikan yang anak-anaknya semua cukup. Kelakar bunyinya. Saya juga seringkali merungut, setiap kali saya masak lauk yang istimewa, Abah tidak pernah menjamah, tetapi, rupanya, setiap kali saya masak, dia akan ambil sedikit dan merasa lauk yang dimasak oleh saya ketika saya sedang tidur. Cuma, sejak akhir-akhir ini saya rasakan, hubungan ini makin menjauh. Tiada lagi komunikasi antara kami. Mungkin Abah sibuk.

Abah,
Kaklong cuma nak abah tahu, walauapapun yang terjadi, kaklong sentiasa bersama Abah.
Mungkin Abah sibuk.
Tapi..
Kaklong nak Abah tahu, sudah lama kami rindukan mahu bercakap-cakap dengan Abah ketika mak masih ada dahulu.
Kaklong juga nak abah tahu, Abah, masih yang terbaik dihati kami semua.
Terima Kasih untuk segalanya.

Kaklong juga tak lupa. Abah pernah tidak duduk dan tidak tidur sepanjang perjalanan dari KL ke JB menaiki keretapi kerana terpaksa mendukung kaklong yang sedang menangis tak henti-henti.

Kaklong juga tak lupa, marah mana pun kaklong dengan Abah, tapi Abah juga yang kaklong cari ketika kaklong menangis.

Kami nak Abah tahu yang kami sentiasa sayang Abah, Abah jangan lupakan kami ya.

Selamat Hari Bapa, Abah. Semoga tempat kita di Syurga.