Friday, May 13, 2016

30 minit yang Sepi dan Gadis Tanpa Isyarat



Mana pergi awan, semuanya hilang dari pandangan. Matahari pula bersembunyi sejak jam 6 pagi lagi aku tunggu tak muncul-muncul. Jalan-jalan yang aku lalui tadi semua hilang. Sesat lagi aku.
Jantung pula seperti hilang degupan. Apa yang tak kena lagi pada aku.

Pejam celik, pejam celik semua orang aku nampak biru. Gelap pandangan, gara-gara matahari yang tak muncul-muncul.
Hujan sahaja yang menemani. Pelik. Awan tiada, mana pula datangnya hujan.

Abaikan. 

Bayangkan, aku berjalan dalam keadaan gelap dan basah dengan sehelai baju polos yang nipis, seluar yang sudah basah kuyup. Jari-jari pun sudah mula mengecut.

Sejuk. 

Badan basah dan tak kering-kering. Hidung mula sejuk. Dada berombak. Susah nak bernafas. Cari inhaler memang tak jumpa. Selalu ada, bila cari memang tak jumpa.
Lihat jam tangan menunjukkan jam 6:40 petang. Matahari pun masih tak muncul. Apakan lagi nak lihat ianya terbenam.

Dalam keadaan sejuk dan gelap dan semua orang aku nampak berwarna  biru, kepala pun masih runsing.
Pening.
Apa masalah aku hari ini?
Paddle pop yeay! Paddle pop wow! Super duper Yummy!” berulang-ulang. Tiba-tiba, muzik dari motor si penjual aiskrim berkumandang.

Angin sepoi-sepoi bahasa bertiup.
Baju basah. Angin. Sejuk.
Aku berpeluk tubuh. 

Angin. Lagu orang jual aiskrim dan seorang gadis yang bukan berwarna biru.
Gadis normal. Biasa sahaja. Dia sedang membeli aiskrim.
Tapi. Aku asyik melihat dia.
Baju kurung kain kapas. Bunga-bunga kecil coraknya. Tudung bawal berwarna kuning lembut.
Ada sesuatu padanya. Mungkin, kerana semua orang aku lihat berwarna biru dan dia tidak. 

Mungkin…

Dia lain. Lain dari yang lain. Aku ralit memerhatikannya. Walhal dia hanya membeli aiskrim.
Aku pandang langit  ke kanan. Tiba-tiba aku lihat matahari sedikit terbenam. Eh, tadi matahari tiada. Dari mana datangnya pula matahari itu. Ada sedikit pelangi di hujung kota itu.
Cantik.
Maksud aku pelangi.
Juga, gadis itu.
Aku masih memandangnya.
Dia mengangkat wajah dan menghulurkan tangan kepada pakcik itu untuk membayar aiskrim roti yang dibelinya.
Aku masih di situ.
Berjalan. Melangkah ke arahnya. Orang lain masih kulihat biru.
Dia tidak biru.
Dia lain.
Dia menoleh ke arah aku.
Aku tersenyum. Dia membalas senyuman aku.
Angin masih bertiup lembut. Hanya aku dan dia yang tidak berwarna biru.
Kota masih sunyi. Pakcik penjual aiskrim pergi meninggalkan kami bersama angin dan pelangi petang.

Gumam.

Aku berjalan menuju tempat gadis itu berdiri dan berdiri betul-betul di sebelahnya.
Dia memandang aku dengan riak wajah yang sedikit gentar.
Aku senyum mesra padanya.
Dia memandang aku sambil mengerutkan keningnya.
Wajahnya biasa sahaja. Tapi aku senang melihatnya.
Aku meneruskan kata-kata, entah dari mana kuasa yang datang membuatkan aku berani memulakan bicara yang entah apa-apa.

“Tadi, saya rasa hilang segalanya. Saya takut. Saya seorang diri. Sejuk. Semua orang yang saya lihat berwarna biru. Matahari tiada. Langit juga tidak berawan. Yang ada cuma hujan dan angin yang menyeksakan tubuh. Sejuk mencengkam tulang. Tapi, bila saya nampak awak, tiba-tiba, matahari muncul walaupun sedikit, tetapi tetap memberi sinar agar saya dapat melihat dunia. Pelangi muncul, walaupun samar tapi dapat memberi warna dalam mata dan jiwa saya. Ceria rasa. Bunyi lagu dari motor si penjual aiskrim, walaupun bukan lagu cinta, tetapi masih dapat mencuri rasa hati agar tidak kesunyian. Awak, tahu tak, dengan semua perkara yang hadir tiba-tiba, saya rasa jiwa saya terisi, semuanya hadir, kerana hadirnya awak. Awaklah matahari, awaklah pelangi, awaklah muzik, awak adalah saya, saya adalah awak. Awak adalah dunia saya…”

Gadis itu tetap diam. Tersenyum manis. Tunduk dan berlalu pergi.
Dari jauh aku lihat, dia sedang berlari ke arah seorang lelaki tua. Sambil berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat.
Dia bisu rupanya.
Aku pun tidak pasti adakah dia dengar atau tidak apa yang aku katakan tadi.
Dan,
Aku, kini masih sendiri dan dia hanya memori untuk 30 minit yang sepi.