Thursday, June 13, 2013

Kaklong Tak Lupa

Assalamualaikum dan Salam Jumaat kepada semua pembaca blog saya yang telah lama saya pinggirkan..

Sudah agak lama saya tidak berkongsi rasa di laman ini. Mungkin cara penulisan saya kali ini juga sudah agak berbeza jika dibandingkan dengan penulisan-penulisan saya yang terdahulu.
Gaya penulisan yang lebih ringkas dan mudah difahami. Seperti sedang berbicara dihadapan pembaca-pembaca sekalian itu adalah cara saya menulis. Mungkin pada saya, dengan gaya penulisan seperti itu, membuatkan saya berasa lebih dekat dengan pembaca dan pembaca lebih mudah membaca perasaan saya.

Hakikatnya, bukan saya tidak mahu menulis secara bebas seperti dahulu tapi mungkin saya lebih cenderung menulis dengan menggunakan bahasa yang lebih sempurna berbanding dahulu kerana mungkin saya telah terbiasa dan terikat dengan kerjaya sekarang. Tapi, saya masih saya yang dahulu, masih gila, kelakar (kelakar ke??) dan masih KHADIJAH AMINAH yang kamu semua kenali dahulu.

Mungkin sudah cukuplah pengenalan yang saya berikan untuk 'entry' kali ini. Maka besarlah hati saya ingin berkongsi sedikit cerita atau pengalaman hidup saya kepada anda semua.

Pagi tadi, seperti biasa saya memandu ke pejabat sambil saya dihidangkan dengan topik yang agak  menarik oleh penyampai radio. Topiknya menyentuh tentang Ayah. Pernahkah anda dihukum oleh ayah anda.. apakah hukuman yang diberikan oleh ayah anda ketika anda kecil. Puas saya memikirkan, apakah hukuman yang pernah ayah atau saya memanggil ABAH telah berikan kepada saya semasa saya kecil. Sedar tak sedar , sebenarnya, saya tidak pernah dihukum oleh Abah. Tidak tahulah kenapa. Bukan kerana saya anak manja. Tetapi mungkin kerana saya tidak pernah melakukan hal-hal yang tidak disukainya. Saya juga adalah pengampu terhebat Abah. Haha. Sehingga kini saya sentiasa mengampu Abah dengan menceritakan tentang kehebatan-kehebatan saya berbanding adik-adik saya yang lain. Bunyinya seperti seorang yang gila kuasa. Tetapi itulah hakikatnya, begitulah cara untuk saya mendapat perhatian dari Abah.

Abah seorang yang sangat sibuk. Dia seorang yang sangat berjaya dalam kerjayanya. Kata-katanya sahaja sudah cukup  menunjukkan dia seorang yang bijak. Jauh disudut hatinya. Saya tahu dia memerlukan seseorang untuk mendengar luahan hatinya, mungkin dia juga mempunyai masalah sama juga seperti saya. Tetapi, sebagai seorang anak yang mungkin sedang mencari erti hidup sendiri, saya juga kadang-kala lupa untuk bertanyakan khabarnya. Walhal, kami serumah!

Selepas pemergian Mak, Abah yang menjaga kami seorang diri. Kadangkala, kerana terlampau sibuk,
saya berasakan yang Abah tidak mempedulikan hal kami adik beradik. Tetapi, tidak pula saya tahu, di malam hari, ketika kami semua sudah tidur, abah masuk setiap bilik anak-anaknya dan untuk melihat dan memastikan yang anak-anaknya semua cukup. Kelakar bunyinya. Saya juga seringkali merungut, setiap kali saya masak lauk yang istimewa, Abah tidak pernah menjamah, tetapi, rupanya, setiap kali saya masak, dia akan ambil sedikit dan merasa lauk yang dimasak oleh saya ketika saya sedang tidur. Cuma, sejak akhir-akhir ini saya rasakan, hubungan ini makin menjauh. Tiada lagi komunikasi antara kami. Mungkin Abah sibuk.

Abah,
Kaklong cuma nak abah tahu, walauapapun yang terjadi, kaklong sentiasa bersama Abah.
Mungkin Abah sibuk.
Tapi..
Kaklong nak Abah tahu, sudah lama kami rindukan mahu bercakap-cakap dengan Abah ketika mak masih ada dahulu.
Kaklong juga nak abah tahu, Abah, masih yang terbaik dihati kami semua.
Terima Kasih untuk segalanya.

Kaklong juga tak lupa. Abah pernah tidak duduk dan tidak tidur sepanjang perjalanan dari KL ke JB menaiki keretapi kerana terpaksa mendukung kaklong yang sedang menangis tak henti-henti.

Kaklong juga tak lupa, marah mana pun kaklong dengan Abah, tapi Abah juga yang kaklong cari ketika kaklong menangis.

Kami nak Abah tahu yang kami sentiasa sayang Abah, Abah jangan lupakan kami ya.

Selamat Hari Bapa, Abah. Semoga tempat kita di Syurga.